Sunday, August 10, 2008

Warga Emas Berenang Sejauh 52km

Warga emas berenang sejauh 52km dari Langkawi ke Kuala Perlis
Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL

KANGAR 9 Ogos -

Seorang warga emas berusia 61 tahun mencipta sejarah apabila melakukan renangan solo sejauh 52 kilometer (km) dari jeti Kuah, Pulau Langkawi ke jeti Kuala Perlis dalam masa 15 jam, semalam.
Azizan Ali memulakan renangan dari jeti Kuah pada pukul 5.25 petang semalam sebelum tiba di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, pada pukul 8.20 pagi hari ini.
Beliau yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, turut berbasikal sejauh 15km dari jeti Kuala Perlis ke kaki Bukit Cenderawasih, melakukan pendakian bukit itu yang mempunyai 1,000 anak tangga dan berlari sejauh lima kilometer ke garisan penamat di Sekolah Kebangsaan Putra di sini.
Azizan berkata, beliau mencipta rekod itu setelah berjaya melakukan renangan sejauh 50km di Sungai Tambun Tulang, Arau sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara, tahun lalu.
‘‘Mulanya rancangan asal saya ialah sasaran berenang sejauh 51km di laut dan larian jarak yang sama di darat iaitu simbolik kepada 51 tahun kemerdekaan negara pada tahun ini.
“Cabaran di laut berjaya ditempuhi iaitu lebih daripada 51km. Bagaimanapun, cabaran di darat terpaksa dipendekkan kepada 23km saja berikutan masalah teknikal,” katanya di sini hari ini.
Menceritakan pengalaman ketika melakukan renangan di laut, Azizan berkata, permukaan laut yang agak beralun dan pergerakan arus bertentangan arah renangan menyukarkannya.
“Saya terpaksa berehat setiap sejam ketika berenang untuk minum kopi panas dan minuman tambahan bagi memastikan badan saya segar sebelum meneruskan renangan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat melalui semua cabaran tanpa sebarang kecederaan kerana apa yang saya lakukan adalah untuk sambutan kemerdekaan kali ini,” jelasnya.
Ditanya rahsia kekal sihat biar pun usia melebihi 60 tahun, beliau berkata, selepas mncipta rekod renangan di Sungai Tambun Tulang, tahun lalu aktiviti kecergasan menjadi amalannya setiap hari.
“Setiap hari saya melakukan senaman atau berenang sekurang-kurangnya dua jam pada waktu pagi dan berjoging pada waktu petang.
“Perancangan masa depan jika dipanjangkan umur, insya-Allah saya akan menakluk Selat Inggeris,'' katanya.

No comments: